Tuesday, June 9, 2009

AL FARABI (259 – 339H / 872 – 950M)

Beliau ialah Abu Nasr b. Mohd b. Mohd b. Auzilag b. Thorhan yang berasal dari keturunan Parsi dan beribukan seorang Turki. Beliau telah dilahirkan di Washih, Farab Turkistan dan meninggal di Damsyik, Suria.
Beliau dilahirkan di dalam keluarga yang berada dan mewah, dipenuhi dengan kesenangan. Beliau kemudianya telah menjawat jawatan Qadhi. Kehidupan beliau tidak dipengaruhi oleh kemewahan bahkan beliau lebih suka memikir perkara metafizik sekalipun beliau berada di bidang fiqh yang membolehkan beliau memegang jawatan qadhi tetapi bidang itu tidak memberi kepuasan kepada dirinya. Beliau akhirnya telah mengembara menuju Baghdad dan mempelajari ilmu Mantiq di tangan Abi Basyar b. Ibn mata dan kemudianya di tangan Yuhana b. Hailan di Haran. Beliau menekuni mempelajari falsafah di Baghdad walaupun telah mencapai 40 tahun dari umurnya. Beliau meminati untuk menyingkap perkara yang kabur dan caranya ialah dengan melakukan pengembaraan.

Beliau dapat menguasai banyak bahasa dan di antaranya ialah bahasa Arab, Turki dan Parsi dan dapat menguasai muzik secara teori dan praktikal. Diriwayatkan beliau tidak mengambil berat masalah dunia seperti pakaian dan tempat tinggal bahkan beliau telah meninggalkan jawatan qadhi yang disandang di negerinya. Beliau selalu keluar pada waktu malam mencari tempat-tempat berpokok dan berair untuk membaca dan juga mendengar muzik.

Al Farabi dan Falsafah
Beliau cuba untuk menyatukan pendapat Aristo dan Aplato dan antara Aristo dan Galinous dan antara kesemua mereka dengan ajaran Islam. Tetapi pendapat beliau telah dikritik oleh Hibbatullah Ibn Al Barakah Al Baghdadi dengan bantuan pemikiran Al Ghazali kerana sealiran dengan Aflutin. Al Baghdadi mensifatkan falsafah beliau sebagai bertabi’at Aflutin tetapi beraliran Aristo. Ini disebabkan Al Farabi bergantung kepada karya-karya yang telah diselewengkan.

Karya-karya Al Farabi
Kebanyakan karya Al Farabi telah hilang dan yang sampai kedatangan kita cuma beberapa potongan dan ada kalanya bertentangan antara satu sama lain dan memerlukan kepada penyusunan baru. Karya beliau mencapai ke angka 117 sama ada buku ataupun risalah. Ianya mencukupi bidang mantiq, pendidikan, nature, ilmu ketuhanan, akhlak, politik, falsafah, matematik, kejuruteraan, perbahasan dan astronomi. Buku yang paling bermutu ialah ensklopedianya yang bernama “Ihksou al ‘Ulum”, yang dianggap antara karya terpenting berbahasa Arab di dalam penyusunan ilmu. Di dalamnya beliau telah membahagikan-bahagikan ilmu mengikut zamannya.

Antara karangan beliau di bidang ketuhanan ialah “Al Nafs”, “Al Jauhar” dan “Al Zaman”. Di dalam bidang falsafah beliau telah mengarang buku “Ma’ani al Aqlu” dan Kitab “Uyunu al Masail". Di antara karangan beliau di bidang bahasa ialah buku “Kitabu al Huruf” dan “Kitabu al Alfaz”.

Al Farabi telah digelar sebagai Failasuf Islam dan guru kedua selepas Aristo kerana kemashurannya di bidang falsafah dan ilmu-ilmu. Ibn Halkhan telah mensifatkan beliau sebagai ahli falsafah Islam yang teragung. Di antara muridnya yang terulung ialah Ibn Sina, Mata b. Yunus dan Abu Zakaria b. ‘Adi Al Takriti.

0 comments:

Post a Comment