Tuesday, June 9, 2009

AL KINDI (185-253 H / 801-8867M)

Beliau ialah Abu Yusof Ya’akub b Ishak b Al Sobah b Imran b Al As’as b Mu’awiyah b Qahthan. Dilahirkan di Kufah dan wafat di Basrah, Iraq. Ketika ayahnya meninggal dunia, beliau masih kecil. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mewah dan berpangkat walaupun dalam keadaan yatim. Zaman beliau merupakan zaman kemajuan Baghdad yang menuju ke arah ketinggian saqafah, tamadun dan kekayaan. Ketika itu dapat dilihat manusia yang berlumba untuk mendapat nama dengan menggunakan ilmu, harta benda, kekayaan atau denan memuji-muji pemerintah. Ini juga menyebabkan pindahnya Al Kindi dari Kufah ke Baghdad.
Al Kindi telah mempelajari ilmu ugama di Kufah, Baghdad dan Basrah dan menumpukan pembelajaran di dalam falsafah, matematik, fizik dan kedoktoran. Mengikut pendapat ulamak, beliau dapat menguasai beberapa bahasa dan mampu menterjemahkan satu bahasa ke bahasa yang lain dengan cukup baik, contohnya ialah buku “ Al Geografi fi al Makmur min al Ard”, karangan Batlimous yang berbahasa Siryani. Buku ini telah beliau terjemah ke bahasa Arab dengan susunan yang cukup baik.
Al Kindi mempelajari Falsafah Yunan, Parsi, Hindi dan mempelajari kejuruteraan, geografi beserta muzik. Beliau mampu mencampur antara kedoktoran dan muzik untuk mengubati penyakit. Terdapat beberapa hikayat yang menakjubkan berkenaan kes ini. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pemerintah Iraq tetapi kebijaksanaan dan kemashuran menyebabkan beliau sering difitnah sehingga mengakibatkan beliau dipukul, dipenjara dan di pulau beberapa kali. Diriwayatkan beliau mempunyai sifat yang bakhil, suka menyimpan buku-bukunya di perpustakaan yang dinamakan Al Kindiah.

Falsafah Al Kindi
Beliau digelar failosof Arab. Beliau memulakan kariernya menjadi ahli Mutakallimin, kemudian menjadi ahli Mu’tazillah dan akhirnya kembali menjadi Sunni. Beliau merupakan seorang yang kuat menentang puak Ikhwan al Sofa. Beliau menyumbangkan sepenuh tenaganya untuk menyatukan antara falsafah Yunani dan Islam. Bolehlah dikatakan sesungguhnya beliau telah mencorak falsafah yang berbagai-bagai dengan corak Islam. Beliau seorang yang cukup cintakan falsafah tetapi kuat berpegang dengan agama Islam. Sesungguhnya Al Kindi merupakan antara golongan yang pertama melakukan pentakwilan iaitu cuba untuk menyatukan antara wahyu dan akal juga membezakan pemikiran golongan awam dan ulamak.

Karya-karya Al Kindi
Beliau mendapat kemashuran yang tinggi di Eropah di zaman pertengahan . Ibn Nadim, Al Qifti, Ibn Usaibiah dan Ibn Nabatah telah membilang karya-karya beliau dan mendapati penghasilan beliau mencukupi keseluruhan bidang Ilmiah. Ibn Nadim telah menganggar karya Al Kindi menjangkau ke angka 238 buah yang mencukupi kitab-kitab besar dan risalah-risalah ringkas antaranya ialah:-

Buku-buku Falsafah
Buku-buku Matematik
Buku-buku muzik
Buku-buku Kejuruteraan
Buku-buku Kedoktoran
Buku-buku Debat
Buku-buku Politik
Buku-buku Skala
Buku-buku Spesis
Buku-buku Mantiq
Buku-buku Astronomi
Buku-buku Bintang
Buku-buku Sphera
Buku-buku Undang-undang
Buku-buku Saikologi
Buku-buku Kordinat
Buku-buku Pembangunan

Diantara karya beliau di dalam muzik ialah “Risalah fi Tartibi al Najmi”, "Risalah fi al Liqa’ " dan “Risalah fi al Madkhal ila Shina’atul Musiqi”. Diriwayatkan bahasa beliau merupakan orang yang pertama sekali mencipta not muzik.
Diantara karya beliau di dalam matematik ialah “Risalah fi al Makhal ila al Arismatiq” dan “Risalah fi Tastihil Kurrah”, “Risalah fi I’lalil Auda’ al Nujumiah” dan “Risalah fi Shun’atil Asturlab”.

0 comments:

Post a Comment