Tuesday, June 9, 2009

Imam Nawawi ( 631H - 676H ) versi panjang sgt2...puas hati bacerr.

Beliau adalah Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf bin Murri bin Hassan bin Hussein bin Muhammad bin Jum'ah bin Hizham Hizhami Nawawi Dimasyqi. Beliau adalah seorang ulamak yang mengembangkan, meringkaskan fakta-fakta, memperbetulkan dan seterusnya menyusun semula mazhab Syafie. Pada zamannya, beliau seorang tokoh yang begitu menonjol sekali di dalam pengkajian ilmu pengetahuan dan peribadatan, ulamak yang mementingkan kewarakan dan kemuliaan, orang yang rajin beribadat di kalangan para ulamak dan orang yang paling berilmu di kalangan para ‘abid. Beliau juga seorang yang zuhud daripada kalangan orang yang memperbetulkan permasalahan di dalam mazhab-mazhab dan seorang yang dikenali sebagai pembetul permasalahan fakta-fakta mazhab di antara kalangan orang-orang yang zuhud. Para ulamak juga meriwayatkan bahawa mereka tidak pernah melihat dan mendengar...
sebarang berita daripada mana-mana
sumber pun seorang yang mempunyai ketokohan yang sangat luar biasa selepas zaman para Tabi’en seperti Imam Nawawi. Beliau juga sangat mementingkan bidang ilmu keagamaan dan seterusnya diamalkan, sentiasa bermuraqabah dengan Allah SWT samada semasa bersendirian maupun secara terang-terangan. Tidak pernah membuang waktu dan melepaskan peluang untuk terus mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa dan sentiasa menurut segala perintah yang telah digariskan oleh Syara’, sehinggalah beliau telah menjadi Qutub pada zamannya serta selalu disanjung tinggi oleh rakyat di sekelilingnya.

Lebih menakjubkan lagi ialah kesemua tokoh-tokoh ulamak pada masa itu samada daripada golongan ulamak yang sepemikiran dengan beliau maupun ulamak yang selalu memperlekehkan tentang mazhab yang dianutinya, mereka itu sentiasa memuji-muji tentang segala perlakuan yang telah diserlahkannya. Semua orang samada yang jauh atau pun yang dekat sentiasa menerima segala luahan bicara yang selalu diperkatakannya, sehinggakan beliau sentiasa dipuji dengan kebaikan di kalangan semua mazhab. Ketokohan beliau yang melambangkan perlakuan yang mulia telah terserlah cahayanya dan tersebar meluas ke merata tempat di dunia, di mana beliau sentiasa mengutamakan perjalanan manhaj yang meyakinkan. Barang siapa sentiasa mengikuti perjalanan hidupnya dan perlakuan akhlaknya, maka beliau akan bersama-samanya di dalam satu taman indah di Syurga yang sentiasa dialiri dengan pancutan mata-air jernih yang menyegarkan.

Barang siapa yang sentiasa mengingatinya, mengamalkan auradnya dan sentiasa memperhatikan tentang segala perlakuan akhlaknya yang terpuji, maka segala kebaikan keduniaan akan diperolehi. Barang siapa yang sentiasa menuangkan segala keilmuan beliau ke dalam rongga dadanya dengan mempelajari segala keilmuannya yang telah dipaparkan di dalam kitab-kitab karangannya, maka mereka ini akan mendapat cahaya kejayaan, boleh mendapatkan cara penyelesai mengenai segala kekusutan permasalahan dan merasa dirinya di dalam keadaan terselamat daripada percaturan penyelesaian permasalahan agama yang tidak dipertanggungjawabkan. Imam Nawawi sentiasa menjadi tempat rujukan para ulamak ketika memperkatakan tentang fakta-fakta dan kaedah-kaedah mazhab Syafie, juga menerangkan tentang peri pentingnya perjalanan syara' dan matlamatnya. Para ulamak-ulamak mazhab juga sudah merasa lega dengan masdar dan punca keilmuan yang telah dicetuskan oleh Imam Nawawi, lantaran beliau sendiri telah memurnikan segala tempat rujukan dan dasar mazhab daripada sebarang kekeliruan untuk dijadikan sebagai panduan kepada pengkaji-pengkaji keilmuan selepasnya.

Syeikh Tajuddin Subki telah memaparkan di dalam kitab Tabakatnya bahawaImam Nawawi adalah seorang guru kebanyakan ulamak Mutaakhirin dan fatwa-fatwanya dijadikan hujah kebenaran fakta oleh setiap ulamak yang pernah berjumpa dengan beliau. Syeikh Tajuddin meneruskan catatannya, ulamak-ulamak pada masa itu telah sependapat bahawa Imam Nawawi adalah orang yang paling zuhud samada beliau di dalam keadaan jaga atau pun di dalam keadaan tidur, dan beliaulah orang yang sentiasa memelihara kehidupan seharian mengikut cara hidup ulamak-ulamak salafus-soleh secara bersungguh-sungguh sesuai dengan peraturan syarak yang terdapat di dalam Sunnah. Beliau mempunyai banyak karangan yang sangat berfaedah dan mempunyai salasilah serta keadaan hidup yang terpuji. Beliau sentiasa berkelakuan dengan sifat-sifat yang sangat terpuji, mempunyai banyak kelebihan, bersifat warak dengan mengikis sikap sukakan kepada keduniaan dan sentiasa bersifat zuhud.

Beliau sentiasa menzahirkan perkara yang hak dan tidak akan memperdulikan kepada orang-orang yang mencercanya, menyampaikan ajaran dan dakwah kepada ramai dengan niat yang suci, sentiasa takutkan pada suatu hari di mana pada masa itu nantinya semua manusia akan mendapat cubaan tanpa dirahsiakan buku catatan mereka. Beliau sentiasa menegakkan segala kebenaran agama dengan berpandukan kepada landasan syarak tanpa menghiraukan kepada ancaman pemerintah, berpegang teguh kepada peraturan agama tanpa mengirakan kepada cercaan dan celaan musuh yang sentiasa iri-hati, meneruskan segala penyampaian dakwahnya dan berani menghadapi segala rintangan yang sentiasa menggendalakan segala usahanya. Beliau sentiasa mengikut jalan dan kaedah yang telah digariskan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah di sepanjang hayatnya.

Ibnu Fadlul Allah pernah berkata di dalam kitab Masalik bahawa Imam Nawawi adalah Syeikhul Islam, seorang wali yang paling alim, ikutan orang-orang yang zuhud, seorang yang mempunyai segala keilmuan dan mengamalkannya, tidak pernah meminta-minta dan berangan-angan, seorang yang sempurna di dalam keadaan perjalanan hidupnya dan tiada tolok bandingnya serta lemah-lembut akhlaknya. Beliau sentiasa dikunjungi oleh para ulamak yang mempunyai kemuliaan. Beliau juga selalu mencetuskan banyak keilmuan hasil daripada kepintaran bicaranya. Oleh sebab beliau cintakan kepada sebarang keilmuan, beliau telah mengembara ke Damsyik untuk menuntut ilmu dan beliau sentiasa menyedikitkan makanan sehariannya sehinggakan beliau tidak meminum air dari bandar Damsyik lantaran menjaga kesucian dirinya.

Tidak lama selepas itu, dengan sebab ketinggian keilmuannya itu, nama beliau menjadi masyhur dan orang ramai sering kali menyebut-nyebut nama beliau. Kepopularitiannya di segi sifatnya yang zuhud itu menyebabkan kewarakan beliau itu telah tersebar ke seluruh ceruk rantau dan pelusuk dunia Islam dan nama beliau menjadi harum lantaran para ulamak sezamannya sentiasa memuji-muji hasil tinta keilmuannya yang telah digarapkan sebagai hasil karangan.

Imam Nawawi telah dilahirkan di dalam lingkungan pertengahan bulan Muharram tahun 631 Hijrah, di sebuah kampung yang bernama Nawa. Beliau dibesarkan dan menghafaz al-Qur’an di kampung tersebut. Pada malam 27 Ramadhan, iaitu ketika beliau berumur 7 tahun, bapanya menceritakan bahawa Imam Nawawi telah mengejutkannya. Imam Nawawi bertanya kepada bapanya: “Wahai bapa, cahaya apakah yang telah menerangi rumah kita ini?”. Bapanya telah mengejutkan kesemua ahli keluarganya, tetapi mereka tidak dapat melihat sesuatu apa pun pada masa itu. Maka barulah bapanya teringat bahawa pada malam itu adalah Lailatul Qadar.

Ketika Imam Nawawi berumur 10 tahun, di kampung Nawa pada masa itu tinggalnya seorang wali yang bernama Syeikh Yassin bin Yusuf Marakisyi. Beliau dapati bahawa kebanyakan kanak-kanak pada masa itu tidak sukakan Imam Nawawi bermain-main bersama kumpulan mereka. Ini menyebabkan Imam Nawawi melarikan diri daripada kumpulan kanak-kanak tersebut lalu menangis lantaran mereka tidak menyukai kehadiran beliau ke situ. Beliau terus membaca ayat-ayat al-Qur’an. Syeikh Yassin meneruskan ceritanya bahawa hatinya terus terpaut dan merasa cinta kepada Imam Nawawi.

Bapanya telah meletakkan beliau di sebuah kedai dan menasihatkan beliau agar beliau tidak menyibukkan diri dengan jual-beli sehingga boleh melupakan untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an. Syeikh Yassin meneruskan ceritanya bahawa beliau telah berjumpa dengan tuan guru yang mengajar al-Qur’an kepada Imam Nawawi. Beliau berkata kepada tuan guru itu: “Kanak-kanak ini (Imam Nawawi) adalah diharapkan akan menjadi seorang yang paling alim dan paling zuhud pada zamannya kelak. Orang ramai akan sentiasa mengambil manfaat daripadanya”. Tuan guru itu pun mempersoalkannya: “Adakah engkau seorang ahli nujum?”. Syeikh Yassin menjawab: “Tidak!! Harapan itu adalah hasil daripada ilham yang telah diberikan oleh Allah kepadaku”. Beliau terus memberitahu kepada bapa Imam Nawawi tentangnya dan menasihatkan agar menjaga Imam Nawawi dengan sebaik mungkin.

Ketika Imam Nawawi berumur 19 tahun, iaitu pada tahun 649 Hijrah, bapanya telah menghantar Imam Nawawi ke Damsyik dan tinggallah Imam Nawawi di Madrasah Rawahiyyah. Beliau tinggal di sana selama 2 tahun dan tidak pernah tidur dengan keadaan membaringkan rusuknya ke atas lantai. Beliau dapat menghafazkan kitab Tanbih di dalam masa 4 1/2 bulan dan menghafaz 1/4 yang selebihnya daripada kitab Tanbih itu di dalam bulan-bulan berikutnya. Beliau juga mensyarahkan dan memperbetulkan bacaan kitab itu di hadapan gurunya yang alim, zuhud lagi warak bernama Abu Ibrahim Ishak bin Ahmad bin Othman Maghribi as-Syafie. Beliau meneruskan pengajiannya dengan gurunya itu sehinggakan gurunya merasa hairan dan takjub lantaran beliau tersangat minat dan ketetapannya dengan pengajian serta tidak berminat untuk bercampur-gaul dengan orang ramai. Lantaran itu, gurunya tersangat sayangkan beliau dan mengulangi pengajiannya itu beberapa kali di dalam halaqahnya.

Pada tahun 651, bertepatan pada hari Jumaat, beliau bersama-sama dengan bapanya telah mengerjakan ibadah haji. Mereka telah memulakan perjalanan itu pada awal bulan Rejab, kemudian mereka tinggal di Madinah lebih kurang selama 1 1/2 bulan. Ketika mereka memulakan perjalanan dari kampung Nawa, bapanya telah diserang penyakit demam panas sehinggalah menjelangnya hari Arafah tetapi bapanya tidak mengeluh terhadap dugaan yang menimpanya itu. Sekembalinya dari Mekah, mereka telah singgah di Damsyik dan Imam Nawawi tidak melepaskan peluang untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan yang terdapat di sana. Imam Nawawi juga menurut jejak langkah gurunya yang bernama Abu Ibrahim Ishak ketika mengerjakan ibadah seperti banyaknya rakaat sembahyang sunat, puasa sepanjang tahun, zuhud dan waraknya. Apabila gurunya itu telah meninggal dunia, Imam Nawawi semakin menggiatkan lagi usahanya untuk menuntut ilmu pengetahuan di merata-rata tempat.

Imam Nawawi telah pergi menunaikan fardhu haji sekali lagi. Ibnu Atthar telah meriwayatkan bahawa gurunya, Qadhi Abu Mafakhir Muhammad bin Abdul Qadir Ansari menceritakan sekiranya Imam Qusyairi pengarang kitab Risalah Qusyairiah sempat bertemu dengan Imam Nawawi, nescaya kedua ulamak ini sama-sama memperingati kepada guru-guru mereka. Keduanya mempunyai taraf keilmuan, amalan, kezuhudan, kewarakan, pertuturan dengan hikmah yang lebih kurang sama di segi kemampuannya.

Ibnu Atthar berkata bahawa pada setiap hari Imam Nawawi telah membaca 12 pelajaran di hadapan beberapa orang guru secara syarah, dua kali pengajian memutalaah kitab Wasith, membaca kitab Muhazzab, meneliti Kitab Sahih Bukhari dan Muslim, membaca Sahih Muslim, kitab Lumak karangan Ibnu Jinni, mengislahkan ilmu Mantik karangan Ibnu Sukaith dalam pelajaran ilmu Lughah, meneliti ilmu Sorof, menyelidik nama-nama Rijal dan membaca kitab-kitab Usuluddin.

Imam Nawawi telah menta’alik segala kemusykilan, menjelaskan keterangan dan menetapkan bahasa. Kesemua waktunya dan urusannya sentiasa di dalam keberkatan Allah SWT. Pernah Imam Nawawi terfikirkan untuk mempelajari ilmu kedoktoran, lantas beliau membeli kitab Undang-undang kedoktoran dan berazam untuk terus mempelajarinya, tetapi pada akhirnya beliau diberikan ilham untuk tidak mempelajarinya. Beliau mengeluarkan semua buku-buku yang berkaitan dengan kedoktoran itu dari rumah beliau. Selepas itu keadaan beliau lebih lega dari sebelumnya.

Di dalam satu cerita, beliau pernah berkata: “Aku pernah sakit di Madrasah Rawahiah. Pada satu malam, di satu sudut Madrasah itu, Aku dapati bapaku, saudaraku dan sekumpulan daripada kaum keluargaku sedang tidur. Tiba-tiba keadaan sakitku beransur-ansur hilang, lantas aku bersemangat untuk berzikir kepada Allah. Dengan perlahan-lahan, Aku bangun dari tempat dudukku dan terus berwudhuk. Tiba-tiba, seorang tua menghampiri kepadaku, lantas berkata kepadaku wahai anakku!! janganlah engkau mengingati Allah kerana engkau akan mengganggu bapa engkau, saudara engkau, ahli keluarga engkau dan orang yang berada di dalam Madrasah ini. Aku pun bertanya: wahai orang tua!! siapa kamu?”. Dia menjawab: Aku adalah orang yang menasihatkan kepadamu. Aku pun terasa bahawa suara itu adalah berlainan daripada biasa. Aku membentak orang tua agar meninggalkan aku berbuat begitu. Akhirnya Aku tahu bahawa suara itu adalah iblis, lantas Aku mengucapkan : Auzu Billahi Minasyaitanirrajim. Aku mengangkat suaraku dengan ucapan tasbih dan Aku terus memalingkan daripadanya untuk menuju ke arah pintu Madrasah. Suara Aku yang kuat itu telah mengejutkan bapaku dan beberapa orang yang tidur di dalam madrasah itu. Aku dapati pintu Madrasah itu berkunci. Di situ, tidak ada seorang pun yang menjaganya. Secara tiba-tiba bapaku menghampiri Aku dan berkata: “Wahai Yahya!, mengapa dengan kamu?”. Aku menceritakan kepadanya apa yang telah berlaku. Mereka menjadi hairan. Dengan tidak semena-mena, semua yang ada di situ terus bangun dari tidur mereka dan duduk untuk membaca tasbih dan berzikir.

Sebahagian daripada kitab-kitab yang telah didengar pembacaannya daripada guru-gurunya ialah Kitab Hadis Kutub Sittah, Muwatta’, Musnad Imam Syafie, Musnad Imam Ahmad, Musnad Darimi, Musnad Abu Uwanah, Musnad Abu Yu’la, Sunan Darut Qutni, Sunan Baihaqi, Syarah Sunnah oleh Bughawi, Kitab Ansab oleh Zabiri, Kitab Khutob Nabatiah, Risalah Qusyairiah, Kitab Amal Yaum wal Lailati oleh Ibnu Sunni, Adabus Sami’ War Rawiy oleh Khatib dan banyak lagi.

Sebahagian besar daripada ulamak-ulamak yang hafaz dan penguasa-penguasa telah mendengar dan berguru dari beliau. Ramai daripada fuqahak di seluruh pelusuk dunia Islam telah mengamalkan segala keilmuannya, fatwanya dan kitab-kitab karangannya.

Ibnu Atthar menceritakan lagi, Imam Nawawi tidak pernah membuang waktunya sama ada pada waktu malam maupun pada waktu siang. Segala waktunya dihabiskan dengan tugas-tugas mencari keilmuan sehingga sewaktu berjalan pun beliau disibukkan dengan mengulangi dan bermutalaah. Beliau lakukannya selama enam tahun. Kemudian beliau menyibukkan diri dengan mengarang, memberikan nasihat kepada orang Muslimin dan para pemimpin mereka. Beliau sentiasa berusaha bersungguh-sungguh ketika beramal berdasarkan kefahamannya itu. Beliau juga berusaha berijtihad untuk keluar daripada perselisihan para ulamak, mengamalkan dengan amalan-amalan hati untuk bermuraqabah dengan Allah SWT, menyucikan hati daripada segala kekotorannya dan sentiasa menghisab dirinya pada setiap langkah yang dilaluinya.

Beliau adalah seorang pentahkik di dalam keilmuannya dan keseniannya, pensyarah, penghafaz Hadis-hadis Rasulullah SAW, mengetahui semua jenis bentuk Hadis di segi ilmu Mustalah Hadis, samada di segi makna yang pelik, keterangannya, pemahaman di segi feqhnya dan pengambilan hukumnya. Beliau juga penghafaz mazhab Imam Syafie dan kaedah-kaedahnya samada di segi usulnya atau furu’nya, mengetahui mazhab para Sahabat RA dan para Tabi’en, mengetahui perselisihan dan ijmak para ulamak, mengikuti jalan dan cara ulamak salaf. Beliau telah menghabiskan segala waktu sehariannya dengan perkara-perkara kebaikan, iaitu sebahagiannya untuk mengarang, sebahagiannya untuk mengajar dan sebahagiannya yang lain untuk sembahyang, membaca al-Qur’an, urusan-urusan keagamaan dan amar ma’aruf serta nahi mungkar.

Kamal Adafawi telah berkata di dalam kitab Badrus Safir menceritakan tentang keadaan Imam Nawawi dengan katanya: “Adakah kamu sekelian membantah terhadapku. Aku telah memutalaah kitab Wasith sebanyak 400 kali?”. Malik Zahir telah mewakafkan Babrus untuk pergi ke Damsyik di atas beberapa urusan. Imam Nawawi menyangka, kedatangan beliau itu adalah untuk memberhentikannya. Tetapi, Malik berkata bahawa beliau adalah orang yang takutkan kepada Imam Nawawi.

Allamah Abu Abdullah bin Abu Fatah Ba’ly al-Hambali pernah menceritakan: “Pada satu malam di dalam Masjid Damsyik, Aku dapati Imam Nawawi sedang berdiri mengerjakan sembahyang ke arah sebatang tiang di dalam keadaan gelap. Dia mengulangi firman Allah SWT yang terdapat di dalam Surah (Waqifuhum annahum masuulun ....) dengan penuh kesedihan dan khusyuk sehingga Aku sendiri terasakan bahawa Allah itu adalah Yang Maha Mengetahui”.

Beliau tidak masuk bilik air, hanya makan sekali sahaja selepas Isyak, hanya minum sekali sahaja pada waktu sahur, tidak minum air sejuk yang dimasukkan ke dalam peti ais dan beliau tidak berkahwin. Allamah Rasyiduddin al-Hanafi telah mendebat perlakuan kehidupan Imam Nawawi yang sentiasa mengurangkan makanannya. Beliau pernah berkata kepada Imam Nawawi: “Aku takut kamu akan ditimpa sakit disebabkan engkau tidak melakukan beberapa perkara yang lebih baik daripada apa yang engkau maksudkannya”.

Imam Nawawi pernah melarang sebahagian daripada sahabatnya agar tidak memakan kulit mentimun kerana takutkan badan mereka akan menjadi lesu dan akan tertidur. Beliau akan menghampiri longgokan kitab-kitab sekiranya beliau merasa hendak tertidur.

Pada satu hari, Qadhil Qudhat Jamaluddin Zar’ie datang menziarahi beliau. Beliau mendapati Imam Nawawi sedang makan sejenis makanan yang diperbuat daripada tepung, dimasak dengan susu atau lemak dan dipanaskan. Sulaiman berkata: “Makanlah. Dia tidak suka memakannya”. Lantas, saudaranya bangun pergi ke sebuah pasar, lalu membawa makanan yang dipanggang dan manisan. Dia pun berkata: “Kamu makanlah makanan ini. Dia tidak memakannya”. Beliau bertanya kepadanya: “Wahai saudara... apakah makanan ini hukumnya haram?”. Beliau menjawab: “Tidak! tetapi, makanan ini adalah makanan orang-orang yang sombong”.

Imam Nawawi tidak memakan buah-buahan yang terdapat di kota Damsyik. Apabila beliau ditanya tentang hal yang demikian itu, beliau menjawab bahawa di kota Damsyik terdapatnya banyak harta wakaf dan harta-harta milik yang berada di bawah penguasaan orang lain. Muamalah di bandar tersebut adalah mengikut cara saliran dan pengairan, di mana cara ini tidak disepakati oleh para ulamak. Ada di antara para ulamak yang mengharuskannya, tetapi mereka juga mensyaratkan bahawa keadaan buah-buahan itu adalah baik dan selamat daripada sebarang syubhat. Kebanyakan manusia tidak akan memakan buah-buahan pada masa itu kecuali sebahagian daripada buah-buahan yang jelas-jelas dimiliki oleh tuan milik yang sah dan menepati hukum syarak. Maka bagaimanakah jiwa seseorang itu akan menjadi baik sekiranya beliau sentiasa memakan makanan yang syubhat?

Imam Nawawi juga sentiasa mempraktikkan manhaj para sahabat RA dan pada masa itu tiada seorang daripada ulamak pun yang mengikut manhaj yang telah dipraktikkan oleh para sahabat RA dengan sepenuhnya kecuali Imam Nawawi. Beliau juga sentiasa memakai baju yang diperbuat daripada kain kapas dan memakai serban ‘Sakhtianiah’. Di janggutnya terdapat beberapa helai bulu yang berwarna putih, sentiasa tenang dan warak dalam segala perlakuan sehariannya. Selepas zaman para Tabi’en, tiada seorang ulamak pun yang menyerupai Imam Nawawi di segi kewarakan, kepintaran, keilmuan, kezuhudan, kemuliaan dan segala sifat yang mahmudah.

Seorang penjaga pintu Madrasah Rawahiah menceritakan, “Pada satu malam Imam Nawawi keluar dari madrasah itu dan aku mengikutinya dari arah belakang. Pintu pagar terbuka dengan sendirinya tanpa dibuka oleh sesiapa pun untuk memberikan laluan kepada Imam Nawawi keluar daripada kawasan madrasah itu. Beliau keluar daripada kawasan madrasah itu dan aku terus mengikutinya beberapa langkah. Tiba-tiba aku terasakan, aku dan beliau ketika itu berada di Kota Suci Mekah. Beliau memakai baju ihram, mengerjakan
tawaf di sekeliling Kaabah dan mengerjakan pekerjaan Sa’ie. Kemudian beliau terus-terusan mengerjakan perlakuan tawaf sehinggalah pada waktu pertengahan malam. Beliau kemudian kembali semula berjalan beberapa langkah dan aku juga mengikutinya dari belakang. Akhirnya, tiba-tiba aku dan beliau berada di Madrasah Rahawiah semula”.

Pada tahun 665 Hijrah, Imam Nawawi telah dilantik sebagai seorang Pengetua Darul Hadis Asyrafiah selepas matinya Abu Syammah sedangkan pada masa itu di negeri itu terdapatnya mahaguru yang lebih tua dan lebih tinggi sanadnya daripada Imam Nawawi. Tetapi juga, Imam Nawawi tidak pernah mengambil sebarang keilmuan daripada guru tersebut sehinggalah beliau meninggal dunia. Imam Nawawi juga mempunyai tiga darjat ketinggian, iaitu keilmuan dan melaksanakan tuntutan-tuntutan keilmuan itu, sifat kezuhudan semasa di dunia dan menyuruh orang lain agar mengerjakan segala kebaikan serta melarang segala perlakuan kemungkaran.

Syeikh Syoddoq Abu Qasim Mizzi menceritakan, “Pada satu malam, aku bermimpi masuk ke kota Damsyik untuk menyelesaikan beberapa keperluan. Seseorang datang menemui kepada aku mengatakan, Imam Nawawi adalah Syeikh Darul Hadis sedangkan pada masa itu aku tidak pernah mengetahui dan tidak pernah mendengar cerita mengenai keadaan Imam Nawawi. Beliau pada masa itu sedang menjawat kedudukan itu. Aku pun terus masuk ke dalam. Apabila aku terpandang sahaja, beliau terus menghampiri aku dan berkata, sembunyikan segala apa yang anda dengar dan jangan ceritakan kepada orang lain. Kemudian beliau kembali kepada tempatnya semula”.

Syeikh Tajuddin Subki menceritakan di dalam kitab Tarsyih, “Pada satu hari, bapaku sedang menaiki seekor baghal. Tiba-tiba, beliau telah menemui seorang tua lagi buta yang sedang berjalan. Mereka berdua terus berbual-bual. Orang tua itu mengatakan, beliau telah terpandangkan kepada Imam Nawawi. Dengan serta-merta, bapaku terus turun dari baghalnya dan mengucup tangan orang tua yang buta itu. Bapaku memohon dari orang tua itu agar mendoakannya. Bapaku mempelawa orang tua yang buta itu untuk menaiki baghalnya, tetapi orang tua buta itu menolaknya. Orang tua itu mengatakan, Imam Nawawi ketika itu sedang berjalan di hadapannya”.

Apabila Imam Nawawi bersedia untuk memberikan pandangan dan beberapa kesimpulan daripada pengajarannya itu, beliau dapat menyimpulkannya dengan cepat. Segala pandangannya itu amat bermanfaat kepada pengkaji yang membuat rujukan dan kajian beberapa keilmuan. Segala karangannya dan susunannya adalah sebagai satu hasil kerja yang cantik dengan menuju ke arah matlamat tujuan menggapai kebenaran.

Sebahagian daripada karangannya ialah kitab Raudhah Tolibin, iaitu sebuah kitab yang diringkaskan daripada kitab Syarah Kabir karangan Imam Rafi’e. Kalau kita melihat kitab Raudhah ini dengan tulisan tangan, ianya terdiri daripada 4 jilid besar. Kadang-kadang ianya terdiri daripada 6 hingga 8 jilid bergantung kepada besarnya tulisan tangan itu. Beliau memulakan susunan kitab Raudhah itu pada hari Khamis, 25 Ramadhan, 666 Hijrah dan beliau dapat menyelesaikannya pada hari Ahad, 15 Rabiul Awwal, 669 hijrah. Kitab Raudhah juga diiktiraf sebagai kitab rujukan yang terpenting sekali di dalam Mazhab kita Syafi’e. Kitab Raudhah adalah sebuah kitab yang paling indah, menarik dan berharga yang boleh memberikan kesan mendalam kepada sidang pengkaji keilmuan. Di dalamnya, terdapat segala percampuran tentang permasalahan hukum syarak dan dimuatkan juga segala huraian permasalahan lalu beliau meringkaskannya dan memperbetulkannya. Dengan demikian itu, beliau adalah seorang tokoh ulamak yang mampu menghuraikan sebarang masalah yang terserlah, memperbaiki susunan masalahnya, menyusun semula segala kaedah-kaedah asasinya lalu zahirlah segala keputusan permasalahan itu dengan terang dan nyata.

Sekiranya di dalam kitab Raudhah itu dikumpulkan segala permasalahan hukum dalam pelbagai mazhab dan diyakinkan dengan beberapa sebab-sebabnya, nescaya kita tidak berhajat kepada punca rujukan yang lain kerana kitab Raudhah itu sendiri mengandungi segala permasalahan hukum yang terdapat di dalam kitab Syarah Kabir, lebih-lebih lagi ianya mempunyai beberapa keistimewaan dengan beberapa penambahan yang tidak ada pada kebanyakan kitab-kitab feqh. Segala penyelesaian permasalahan yang dipaparkan di dalam kitab itu juga diterima oleh keseluruhan para ulamak sebagai satu punca bahan rujukan yang tidak terdapat di dalam sebahagian daripada kitab-kitab rujukan feqh. Para ulamak akan terus mengamalkan setiap daripada penyelesaian permasalahan itu tanpa ragu-ragu lagi sebagai satu tanda kepercayaan yang jitu terhadap keilmuan Imam Nawawi
itu. Dengan demikian, mereka akan terus berpegang teguh dengan segala penyelesaian huraian hukum itu, menggunakan segala kaedah-kaedah usul pemahaman dan mempercayai kata-kata nukilan ulamak yang terdapat di dalam kitab itu. Imam Nawawi telah memperbetulkan segala permasalahan itu adalah bergantung kepada kefahaman Imam Rafi’e dengan ditambah sedikit beberapa permasalahan, syarat-syarat dan perhubungan hukum yang berkaitan.

Azra’ei menceritakan, beliau hampir-hampir hendak mencuci kitab itu sebelum beliau meninggal dunia. Beliau juga mempunyai beberapa kafilah yang terdiri daripada beberapa tunggangan. Kebanyakan manusia pada masa itu sangat prihatin terhadap penulisan kitab Raudhah, membicarakan tentang beberapa tempat dan beberapa pembetulan pada kitab itu yang pada zahirnya ternampak beberapa percanggahan dan beberapa tempat di dalam kitab Raudhah yang menyalahi dengan syarahnya yang disusun oleh Imam Esnawi, Imam Azra’ei, Imam Bulqini, Imam Zarkasyi dan lainnya. Sebenarnya, di antara sebab berlakunya sedikit percanggahan di antara kitab Raudhah itu dengan syarahnya adalah disebabkan kitab Raudhah itu sendiri diringkaskan daripada sebuah naskhah yang terdapat di dalamnya beberapa kenyataan yang tidak benar. Tetapi akhirnya, beliau menjawab bahawa ramai di antara orang yang terkemudian telah memalsukan fakta yang terdapat di dalam kitab itu dan menambahkan segala permasalahan lain, lalu mereka menuduh permasalahan itu saling bercanggahan. Kitab itu dapat diperbetulkan untuk menjawab segala pertanyaan daripada orang ramai pada masa itu daripada sebarang penipuan atau sebarang pemalsuan fakta untuk mengelakkan daripada mereka terus menuduh dengan sewenang-wenangnya bahawa terdapatnya beberapa percanggahan di dalam kitab itu sendiri. Beliau sendiri menambahkan beberapa penyelesaian permasalahan yang dipetik daripada kitab Majmuk dan kitab-kitab karangannya yang lain untuk dimasukkan ke dalam syarah kitab itu.

Imam Nawawi juga mensyarahkan kitab Sahih Muslim dengan diberikan nama sebagai Minhaj Fi Syarhi Sahih Muslim ibni Hajjaj atau lebih dikenali dengan Sahih Muslim Bi Syarhi Nawawi. Imam Nawawi juga mensyarahkan kitab Matan Muhazzab karangan Imam Syirazi dengan diberikan nama kitab Majmuk. Ibnu Attar berkata bahawa Imam Nawawi mensyarahkan kitab Matan Muhazzab itu sehingga kepada bab Masarrah (Bab memerah susu binatang), tetapi Imam Esnawi pula berkata, Imam Nawawi mensyarahkan kitab Matan Muhazzab itu sampai kepada pertengahan bab Riba’. Kitab Majmuk adalah sebuah kitab karangan Imam Nawawi yang paling besar dan menarik. Beliau telah meninggal dunia sebelum beliau sempat menghabiskan kitab Majmuk itu. Di dalam kitab Majmuk itu sendiri terdapatnya beberapa pendapat ulamak di dalam satu perbincangan permasalahan feqh.

Sebahagian daripada kitab karangannya yang lain ialah kitab Minhaj Tolibin yang diringkaskan daripada kitab Muharrar karangan Imam Rafi’e. Kitab Minhaj yang dijadikan sebagai dasar bahan rujukan para pengkaji, para guru dan juga para mufti itu telah selesai diringkaskan pada 19 Ramadhan, 669 Hijrah. Ibnu Attar berkata, “Imam Nawawi telah mencatatkan senarai nama beberapa buah kitab yang telah dikumpulkannya di atas sekeping kertas. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau berwasiat agar beberapa buah kitab yang belum disempurnakan hendaklah diselesaikan. Selepas itu, satu kumpulan daripada ulamak telah berusaha untuk menyempurnakan beberapa buah kitab”.

Sebahagian daripada keistimewaan kitab Minhaj ialah guru Imam Nawawi sendiri yang bernama Syeikh Tajuddin Farkhah telah meneliti kitab Minhaj. Apabila beliau pergi ke Kota Damsyik, beliau telah diberikan kitab Minhaj untuk dibacakan dan beliau terus pergi ke Madrasah Rawahiah dengan membawa kitab itu. Salah seorang daripada anak murid Imam Nawawi berkata, “Pada permulaan aku mengkaji kitab Minhaj, aku tertidur dan aku bermimpi menghadiri kelas pengajian Imam Nawawi. Aku berkata kepadanya tentang keadaan kitab Minhaj dan beberapa percanggahan yang terdapat di dalam kitab itu. Beliau terus mula memperbetulkan segala keterangan di dalam kitab itu dan mengeluarkan semula kitab itu seperti tidak ada sebarang perubahan pada kitab itu. Aku berkata kepadanya, wahai tuan Guru, jadikanlah kitab ini sebuah kitab lain selain daripada kitab Minhaj yang asal. Kemudian, beliau menaiki seekor himar yang tinggi dan aku berjalan di belakangnya untuk menuju ke satu destinasi yang tidak berapa jauh daripada situ. Beliau memberikan serbannya kepada aku lalu beliau meninggalkan aku keseorangan. Dalam pada itu beliau berkata, barang siapa yang menyusahkan seorang ulamak dengan menggunakan perkataannya, nescaya dia akan menghilangkan keelokan susunan keterangan ulamak tersebut. Tiba-tiba aku terjaga daripada tidurku dan aku terus berusaha untuk menghafaz matan kitab Minhaj”.

Sebahagian daripada karangannya yang lain ialah kitab yang bernama Naktut Tanbih sebanyak 1 jilid yang dinamakan Ta’liqah. Esnawi berkata bahawa kitab ini adalah di antara kitab karangannya yang terawal dan kita tidak sepatutnya merujuk sepenuhnya kepada semua apa yang ditulis kerana di dalamnya tertulis beberapa pembetulan yang saling bercanggah. Kemungkinan beliau mengumpulkannya daripada kata-kata guru-gurunya. Tetapi, apa yang patut diambil istifadah daripadanya untuk diamalkan adalah tentang cara-cara memotong kuku. Di dalam kitab ini disebutkan bahawa kita disunatkan memulai memotong kuku jari telunjuk tangan kanan, kemudian jari hantu, jari manis, jari kelingking dan ibu jari tangan kanan. Kemudian berpindah ke jari kelingking tangan kiri, jari manis tangan kiri, jari hantu tangan kiri, jari telunjuk tangan kiri dan akhir sekali ibu jari tangan kiri. Bagi kuku-kuku jari kaki pula, hendaklah dimulakan dengan jari kelingking kaki kanan dan diakhiri dengan jari kelingking kaki kiri secara berturut-turut.

SURAT IMAM NAWAWI KEPADA MALIK ZAHIR:
بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Hamba Allah Yahya Nawawi, salam kesejahteraan, kerahmatan dan keberkatan Allah kepada pemerintah yang baik, Raja segala pemerintah yang bernama Badruddin, semoga Allah SWT mengekalkan kemuliaan dan kebaikan kepada tuan, memberikan segala kebajikan, memberikan sebaik-baik keberkatan dan keutamaan di dalam segala matlamat tuan dan semoga Allah SWT akan memberkati di dalam segala keadaan dan perlakuan yang tuan lakukan. Amin.

Apabila kita membicarakan tentang kemuliaan segala keilmuan agama, kita dapati bahawa penduduk-penduduk Syria pada tahun ini di dalam keadaan kehidupan yang tersangat menderita dan merasa kesempitan di dalam segala keadaan mereka dengan sebab hujan turun terlalu jarang, harga barangan melambung tinggi, pepohonan dan tumbuh-tumbuhan yang rimbun lagi membesar terlalu amat sedikit, terdapatnya berbagai-bagai kerosakan jalanraya dan banyak lagi permasalahan.

Tuan tentu mengetahui, tuan adalah wajib dan bertanggungjawab merasa belas kasihan terhadap keadaan rakyat jelata ini, mencarikan beberapa penyelesaian tentang kemaslahataan mereka kerana agama Islam itu sendiri adalah nasihat. Sebelum ini juga, terdapatnya ramai penasihat-penasihat daripada golongan ulamak-ulamak Islam yang sentiasa memberikan ingatan kepada pemimpin semata-mata kerana mereka itu citakan kepada kebaikan. Mereka sentiasa menulis surat kepada pemimpin agar para pemimpin atasan sentiasa meneliti dan merasa ihsan terhadap keadaan rakyat bawahannya. Ingatan ini bukannya sesuatu yang menyulitkan, bahkan hanya satu peringatan dan nasihat semata-mata, merasa belas kasihan dan teguran kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Tanggungjawab seseorang ketua bawahan adalah memberikan cadangan dan syor kepada pihak pemimpin atasan dengan perkataan dan ucapan yang lembut agar mereka mengambil tahu tentang penderitaan dan penghinaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat bawahan.

Surat ini adalah salah satu daripada peringatan ulamak sebagai menunaikan satu amanah dan saling nasihat-menasihati kepada orang-orang atasan, semoga Allah SWT sentiasa memberikan kemuliaan kepada orang-orang yang sentiasa menolong dan meninggikan Kalimah Allah SWT di atas muka bumi ini. Tanggungjawab semua orang-orang Islam adalah memberikan nasihat dan peringatan kepada pihak-pihak yang tertentu agar mereka tidak akan tercuai melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tuan adalah bertanggungjawab terhadap amanah ini dan janganlah tuan menarik diri serta tidak mahu mengambil tugas terhadap tanggungjawab ini. Tidak ada hujah bagi tuan untuk melepaskan dan mencuaikan terhadap amanah ini pada sisi Allah SWT. Pada hari yang tidak akan bermanfaat segala harta kekayaan dan anak-pinak nantinya, tuan akan ditanya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap tugas-tugas tuan itu. Pada hari itulah, setiap seorang akan melarikan diri daripada saudaranya, melarikan diri daripada ibu-bapanya, melarikan diri daripada kawan-kawannya dan anak-anaknya. Pada hari itu nantinya, setiap
manusia tidak mengharapkan kepada seseorang pun.

Segala pujian bagi Allah bahawa tuan sentiasa inginkan kebaikan dan sentiasa melakukannya, malah sentiasa berlumba-lumba untuk membuat segala kebaikan. Ini adalah kebajikan yang utama dan ketaatan yang paling afdhal. Tuan adalah orang yang selayaknya untuk melakukan semua tanggungjawab itu kerana tuan telah diberikan peluang untuk menerajui singgah-sana itu. Itu adalah salah satu daripada kelebihan yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada tuan. Kami sekelian sentiasa merasa ketakutan sekiranya keadaan kesusahan ini akan bertambah parah lagi. Keperitan dan keparahan ini akan sentiasa berlaku sekiranya pihak tuan tidak meneliti keadaan rakyat tuan yang sentiasa di dalam penderitaan.

Sebenarnya kesemua ulamak yang menghantar surat kepada tuan sentiasa menunggu-nunggu jawapan daripada tuan dan hasil daripada peringatan mereka. Sekiranya tuan melakukan tanggungjawab tuan dengan sepenuhnya, Allah SWT insya-Allah akan memberikan ganjaran pahala yang berlipat-ganda.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

KEWAFATAN IMAM NAWAWI:



Imam Nawawi tidak akan mengambil sesuatu bentuk keilmuan daripada seseorang pun kecuali beliau telah mengenal betul tentang keadaan keagamaan orang itu, tidak adanya perhubungan persaudaraan atau mengambil sesuatu keuntungan yang berbentuk keduniaan.

Salah seorang anak muridnya berkata, “Ketika aku sedang duduk di hadapan tuan Syeikh, iaitu dua bulan sebelum beliau meninggal dunia, tiba-tiba datang seorang fakir seraya berkata, wahai tuan Syeikh, Syeikh folan daripada negeri Syorkhod memberikan salam kepada tuan Syeikh dan memberikan cerek ini kepada tuan Syeikh. Beliau menerima pemberian itu, lalu beliau menyuruhku meletakkannya di dalam sebuah rumah orang-orang yang memerlukan keperluan. Aku merasa hairan kerana beliau menerima pemberian itu. Beliau berkata, tolong carikan beberapa orang fakir. Cerek ini adalah alat bermusafir”.

Pada suatu hari di dalam bulan Ramadhan, seseorang berazam untuk berbuka
bersama-sama dengan Imam Nawawi. Imam Nawawi berkata, “Bawa ke sini makananmu untuk kita sama-sama berbuka secara berjemaah”.

Selepas beberapa hari, ketika Ibnu Attar berada di sisi Imam Nawawi, Imam Nawawi berkata kepadanya, “Aku telah diizinkan untuk bermusafir”. “Bagaimana caranya tuan Syeikh diizinkan untuk berbuat demikian?”. Imam Nawawi menjawab, “Aku duduk di rumahku di Madrasah Rawahiah. Ketika itu kakiku sedang menghala ke arah kiblat. Tiba-tiba, muncul seseorang di ruang udara seraya berkata kepadaku, bangunlah dan bermusafirlah ke Baitul Maqdis. Bangunlah sehingga kita akan tinggalkan semua sahabat kita dan orang yang kita sayangi. Aku pun keluarlah bersamanya pergi ke kubur beberapa orang gurunya. Beliau menziarahi mereka kemudian beliau menitiskan air mata kesedihan. Beliau juga menziarahi rakan-rakannya yang masih hidup. Pada subuhnya, beliau pun meneruskan perjalanannya”.

Beberapa hari sebelum Imam Nawawi meninggal dunia, beliau telah menziarahi Quds dan maqam Khalil AS. Kemudian beliau kembali semula ke kampungnya di Nawa. Tidak lama selepas itu, beliau telah ditimpa sakit di rumah bapanya. Ibnu Attar, salah seorang anak muridnya yang ketika itu sedang berada di Damsyik, telah pergi menziarahi Imam Nawawi ke Nawa. Imam Nawawi berasa gembira dengan kedatangannya itu. Beberapa ketika setelah sihat, Imam Nawawi mengizinkan anak muridnya itu untuk kembali ke Damsyik semula. Ketika itu ialah pada hari Sabtu 20 Rejab, 676 Hijrah. Tetapi kemudiannya Imam Nawawi telah meninggal dunia pada malam Rabu 24 Rejab, 676 Hijrah dan dikebumikan di kampungnya Nawa pada subuh hari itu.

Ibnu Attar menceritakan, “Ketika aku sedang tidur pada malam itu, tiba-tiba ada satu suara yang memanggil-manggil dari dalam masjid Damsyik dengan katanya, sembahyangkanlah kepada tuan Syeikh yang menjadi tiang agama. Ramai di antara penduduk setempat terkejut dengan teriakan itu dan mereka bangun daripada tidur. Aku hanya mengetahui tentang kewafatannya itu pada malam Jumaat. Kemudian aku menyembahyangkannya secara ghaib di masjid Damsyik. Orang-orang Islam pada masa itu, sama ada orang yang rapat dengan beliau atau yang jauh, samada orang yang selalu memuji-muji ketokohan beliau ataupun yang sentiasa mengeji dan mencercanya merasa di dalam kedukacitaan di atas kehilangan beliau itu”.

Sebahagian daripada rakan-rakan karibnya telah meminta Imam Nawawi jangan melupakan mereka pada hari penderitaan di Padang Mahsyar nanti. Imam Nawawi menjawab, “Aku tidak akan masuk ke dalam syurga kecuali selepas orang-orang yang aku kenali selepas daripada aku semuanya masuk syurga”.

Apabila ahli keluarganya hendak membuat kubah di atas maqam Imam Nawawi, bapa saudaranya telah bermimpi ada satu suara mengatakan, jangan kamu sekelian membuat seperti ini kerana setiap kali kamu semua membuatnya, kubah itu kelak akan dirobohkan”. Selepas itu, maqam Imam Nawawi hanya ditandakan dengan batu sahaja.

Saudara Imam Nawawi, Syeikh Abdul Rahman menceritakan, “Ketika Imam Nawawi sedang sakit yang membawa kepada kewafatannya itu, beliau mengidam hendak memakan epal. Tetapi, apabila dibawakan beberapa biji buah epal, beliau tidak memakannya”. Apabila beliau meninggal dunia, sebahagian daripada ahli keluarganya bermimpi dan beliau berkata, “Muliakanlah kedudukanku, Allah telah menerima amalanku. Benda yang pertama sekali yang didatangkan kepadaku ialah buah epal”.

Selepas sahaja Imam Nawawi meninggal dunia, sebahagian daripada para pelajar pada masa itu telah pergi ke maqamnya dan berkata, “Engkaulah yang telah berselisih pendapat dengan Imam Rafi’e di dalam beberapa masalah hukum”, seraya menuding-nuding jarinya ke arah maqam Imam Nawawi. Apabila pelajar itu bangun daripada tempat duduknya, beliau telah disengat kala.

Di dalam kitab Inbahul Ghamar karangan Syeikhul Islam Ibnu Hajar, beliau juga memperkatakan tentang biodata Jamal Raimi, seorang ulamak yang mensyarahkan kitab Tanbih dan selalu sahaja menghina Imam Nawawi. Apabila Imam Nawawi meninggal dunia, seekor kucing telah masuk ke dalam bilik mandi Raimi ketika beliau sedang mandi sehingga lidahnya tercabut kerana terperanjat.

p/s : di karang oleh Samsudin Selamat dan di edit skit2 oleh Rahmat Khalil

0 comments:

Post a Comment